Friday 6 January 2012

solat jumaat

Melihat kaum adam berjalan dengan berpakaian lengkap untuk ke masjid bagi menunaikan solat jumaat, terfikir untuk mengetahui lebih mendalam tentang solat Jumaat. Setelah membaca beberapa artikal barulah memahami serba sedikit tentang solat jumaat...( biasa la kaum hawa tak diwajibkan, jadi tahupun hanya sekadar. oleh itu, terfikir untuk menulisnya bagi peringatan walaupun tidak diwajibkan sebab ini adalah ilmu yang bermanfaat)


Firman Allah S.W.T :
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual beli, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui”. (Al-Jumaat: 9)

Rasulullah bersabda maksudnya : “Solat Jumaat adalah wajib ke atas setiap orang Islam secara berjemaah kecuali empat iaitu hamba sahaya, perempuan, kanak-kanak dan orang sakit”. (HR Abu Daud dan Al-Hakim)

Rasulullah bersabda maksudnya : “Sesiapa yang berwuduk dan kemudian dia pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah dibacakan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya”. (HR Muslim)

Rasulullah bersabda maksudnya : “ Jika salah seorang daripada kalian tiba (di masjid) pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah, maka solatlah dua rakaat dan ringkaskanlah solat tersebut.” (HR Muslim)

Dari Jabir bin ‘Abdillah r.a., dia menyatakan: “Sulaik al-Ghifani pernah datang pada hari Jumaat ketika Rasulullah s.a.w. sedang menyampaikan khutbah lalu dia terus duduk. Nabi s.a.w. pun berkata kepadanya: “Wahai Sulaik, berdiri dan solatlah dua rakaat serta pendekkanlah dalam melaksanakannya.” Kemudian beliau bersabda: “Jika salah seorang di antara kamu datang pada hari Jumaat ketika imam sedang berkhutbah, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat dengan seringkasnya”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW berkata: “Jika engkau berkata kepada teman engkau “Diam” pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah, maka engkau telah membuat sesuatu yang sia-sia,  maka tidak ada Jumaat baginya.” Hadis ini diriwayatkan oleh enam ulama hadis daripada seorang sahabat Nabi iaitu Abu Hurairah r.a.

(Dilarang melakukan apa sahaja ketika khutbah disampaikan bermaksud)
Hadis ini ( di atas)difahami majoriti ulama sebagai anjuran untuk mendengar khutbah dan tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan ketika khatib sedang menyampaikan khutbah. Namun, ia bukan bermakna batalnya kewajipan Jumaat apabila seseorang Muslim itu melakukan perkara yang dilarang. Ini kerana makna “tidak ada Jumaat baginya” adalah bermaksud tidak ada pahala Jumaat, bukan tidak sah Jumaatnya. Memang benar segala bentuk amalan sunnah seperti membaca tasbih, al-Quran dan sebagainya hendaklah dihentikan sebaik saja khatib naik mimbar untuk menyampaikan khutbahnya.

Ini berdasarkan kepada hadis daripada seorang sahabat Nabi, iaitu Tsa’labah Abi Malik yang diriwayatkan oleh Imam as-Syafi’I dalam kitabnya al-Umm yang menyatakan: Duduknya Imam di atas mimbar memutuskan segala tasbih [amalan sunnah], dan khutbahnya memutuskan segala macam perbicaraan.” Akan tetapi, perlu dinyatakan di sini bahawa larangan di sini adalah larangan yang bermaksud makruh bukan haram.

Dalam buku al-Majmu’, karangan Imam an-Nawawi disebutkan bahawa ulama yang bermazhab as-Syafi’I berpandangan bahawa mereka sepakat melarang siapa saja yang berada di masjid untuk melakukan apa saja ketika imam atau khatib sudah duduk di atas mimbar.

Imam al-Ghazali seperti yang dikutip oleh an-Nawawi rhm berpandangan, “Jika khatib sudah duduk di atas mimbar, maka tidak dibenarkan lagi melakukan amalan sunnah. Kerana itu, sesiapa yang tidak dalam keadaan menunaikan solat, maka dia tidak boleh mengerjakan solat. Manakala sesiapa yang mengerjakan solat, maka hendaklah dia mempercepatkan solatnya.”

Ini berlaku bagi jemaah yang sudah berada atau duduk di dalam masjid. Mereka yang masuk ke masjid dan belum duduk sewaktu imam duduk di atas mimbar atau sedang berkhutbah, maka dia dianjurkan untuk mengerjakan solat sunat tahiyyah al-masjid sebanyak dua rakaat yang ringkas atau singkat.
Makruh hukumnya meninggalkan solat sunnah ini, kerana Nabi SAW bersabda bermaksud: Jika salah seorang di antara kamu masuk masjid, maka janganlah dia duduk sebelum mengerjakan solat dua rakaat.”
Tetapi jika ia masuk ke masjid di akhir khutbah dan menduga bahawa bila dia melakukan solat tahiyyah al-masjid, dia tidak dapat mengikuti imam dalam takbir pembukaan [takbiratul ihram], maka dia tidak perlu menunaikan solat.

Namun dia tidak boleh duduk melainkan berdiri menunggu khutbah berakhir agar tuntutan Nabi SAW supaya tidak duduk dapat dilaksanakan. 

Berikut ialah syarat wajib solat Jumaat:-
Islam – tidak wajib bagi orang kafir.
Baligh – tidak wajib bagi kanak-kanak yang belum baligh.
Berakal – tidak wajib bagi orang yang gila.
Merdeka – tidak wajib ke atas hamba abdi.
Lelaki – tidak diwajibkan untuk orang perempuan.
Sihat – tidak wajib bagi orang yang uzur dan berhalangan.
Bermastautin atau bermukim – tidak wajib bagi orang yang musafir.

Berikut pula syarat sah solat Jumaat:-
1.      Didirikan di dalam waktu Zuhur.
2.      Tempat mendirikan solat Jumaat itu hendaklah di suatu tempat yang telah ditetapkan seperti masjid, dewan, padang dan sebagainya.
3.      Mestilah berjemaah dengan sekurang-kurangnya 40 orang yang tinggal tetap di kawasan itu.
4.      Didahului dengan dua khutbah – rujuk (Khutbah Jumaat).

beberapa pengecualian dari menunaikan solat Jumaat seperti berikut:-
Seorang Muslim yang mengalami salah satu perkara di bawah ini adalah dikecualikan dari menunaikan solat Jumaat, mereka hanya perlu solat Zohor seperti biasa:

Sakit – Iaitu sakit yang menyukarkan untuk ke masjid atau bimbang akan memudaratan penyakitnya.
Hujan – Jika hujan itu membawa kesukaran untuk pergi ke masjid.
Musafir – Iaitu orang yang keluar sebelum subuh untuk bermusafir.
Takut dizalimi – Orang yang bersembunyi kerana takut di zalimi.
Perang – Orang yang berada di medan perang.

Perkara-perkara sunat yang dilakukan pada hari Jumaat adalah:-
Mandi sunat hari Jumaat, terutama ketika hendak berangkat ke masjid.
Memotong kuku.
Memotong, mencabut atau mengunting bulu [ketiak, hidung, misai].
Bersugi.
Memakai wangi-wangian.
Berhias diri dengan memakai pakaian yang bersih dan cantik.
Bersegera pergi ke masjid.
Berniat Iktikaf ( niat solat di masjid).
Solat sunat Tahiyatul Masjid sebaik sahaja masuk ke dalam masjid.
Memperbanyakkan berzikir, membaca Al Quran dan berselawat ke atas Nabi.




No comments:

Post a Comment